Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam (kanan) menunjukkan rampasan dadah daripada tiga individu di Lembah Beringin, Kerling, pagi semalam. FOTO Amrullah Abdul Karim
Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: Tiga individu ditangkap bersama 337 peket dadah jenis heroin dan syabu seberat hampir 500 gram (g) dalam serbuan di sebuah rumah teres di Lembah Beringin, Kerling, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Tiga individu terbabit adalah pasangan suami isteri berusia 35 dan 23 tahun, manakala seorang lelaki yang juga penganggur berusia 37 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, dadah jenis syabu seberat 442.3 gm itu ditemui di bawah tilam dalam sebuah bilik, manakala 51.8 g serta dua peket lut sinar syabu seberat 5.7 g masing-masing ditemui di lantai dan sebuah bilik lain.

"Selain dadah, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Ford Ranger dipercayai milik salah seorang suspek. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM200,000.

"Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya pada sidang media di IPD Hulu Selangor sebentar tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B & 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 2:05 PM