Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad (dua dari kiri), bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), mengoyak poster iklan along yang ditampal pada sebatang pokok di sekitar Taman Lembah Impiana, hari ini. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim

Kulim: Sebanyak 1,685 keping poster along atau ceti haram yang dipasang di 13 taman perumahan di sekitar daerah ini ditanggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), dalam operasi khas hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, pihaknya menjalankan operasi itu membabitkan seramai 40 anggota daripada kedua-dua agensi terbabit dalam usaha membanteras kegiatan itu.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memantau pergerakan sindiket ini yang sering menampal iklan pinjaman di pokok, dinding kedai dan bangunan sekitar daerah itu.

"Sesiapa juga yang menampal poster along ini boleh ditangkap tanpa waran jika didapati sedang menampal iklan itu, malah pihak yang memberi kad perniagaan pinjaman along dan mengedar risalah juga boleh ditangkap mengikut undang-undang sedia ada.

"Kita akan sentiasa memerangi kegiatan pinjaman tidak berlesen ini kerana ia memberi kesan kepada orang ramai terutama golongan peniaga kecil yang menjadi sasaran," katanya ketika ditemui selepas mengadakan operasi menanggalkan iklan di kawasan Taman Lembah Impiana, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 2:22 PM