MANGSA meninggal dunia di lokasi kejadian. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung : Penunggang motosikal maut dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong lori lalu terbabas merempuh penghadang jalan di Kilometer 11 Jalan Sitiawan-Ipoh di sini, 11 pagi tadi.

Mangsa Abdul Rashid Sarmon, 54, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, mangsa menunggang motosikal dari arah Sitiawan ke Ipoh.

Menurutnya, mangsa dipercayai cuba memotong dari kiri lori yang dipandu lelaki berusia 51 tahun, namun kedudukan lori berkenaan yang terlalu rapat dengan pembahagi jalan menyebabkan mangsa tidak dapat mengawal motosikalnya.

"Mangsa dipercayai brek secara mengejut lalu melanggar besi pembahagi jalan dan akibat daripada itu terjatuh dari motosikal sebelum diseret pada bahagian tayar belakang lori itu.

"Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat,"katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tengku Mohd Zailan berkata,pemandu dan kelindan lori yang berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2016 @ 10:56 PM