Manila: Sebuah badan pemerhati bebas hak asasi manusia Filipina berkata semalam, ia akan menyiasat pengakuan Presiden Rodrigo Duterte bahawa dia membunuh tiga penjenayah beberapa tahun lalu selepas ketua hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa siasatan itu dilakukan.
Duterte yang melancarkan perang antidadah hingga menyebabkan lebih 5,000 orang terbunuh sejak menjadi presiden Jun lalu berkata minggu lalu, dia membantu polis membunuh tiga suspek penculik pada awal penggal perkhidmatannya selaku Datuk Bandar Davao.
Ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina, Jose Gascon berkata, dia sudah membentuk pasukan penyiasat untuk menyiasat pengakuan itu walaupun jurucakap Duterte, Ernesto Abella menganggap gesaan PBB itu hanya ‘pendapat.’
Suruhanjaya berkenaan ialah badan bebas kerajaan yang mendakwa penguatkuasa undang-undang atau pegawai lain yang melakukan penderaan, pembunuhan tanpa bicara atau mencabuli hak perlembagaan rakyat Filipina.
Ia pernah menyiasat Duterte berhubung dakwaan dia memiliki skuad pembunuh yang bertanggungjawab membunuh lebih 1,000 penjenayah kecil ketika menjadi Datuk Bandar Davao.
Duterte menang mudah pilihan raya presiden Mei lalu, sebahagian besarnya kerana janjinya untuk menghapuskan kegiatan dadah.