Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Seorang lelaki berusia 47 tahun maut manakala seorang wanita parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke pembahagi jalan dan hampir terjunam dalam kejadian kemalangan di Kilometer 275 Lebuhraya PLUS arah utara di sini.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi tadi itu, mangsa Voon Chong Ying yang juga pemandu kenderaan itu maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu manakala penumpang wanita kereta itu mengalami patah kaki serta kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P.Samasuvam berkata, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderannya lalu melanggar pembahagi jalan dan hampir terjunam ke bawah lebuh raya itu.

Katanya, kenderaan mangsa tersepit di antara dua pembahagi lebuh raya dan kerja menyelamat terpaksa dilakukan secara berhati-hati kerana bimbang kenderaan itu terjatuh.

"Keadaan yang hampir jatuh itu menyebabkan kerja menyelamat terpaksa dilakukan dengan berhati-hati dan mangsa yang maut serta cedera berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Disember 2014 @ 2:51 PM