FOTO ihsan KKM
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Seramai 137 penduduk Pos Kemar, Hulu Perak termasuk 79 daripadanya adalah kanak-kanak dikesan positif malaria bermula tempoh 16 November hingga Rabu lalu.

Ketua Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, malaria yang dikesan ialah Plasmodium Vivax manakala, satu kes didapati positif Plasmodium Falciparum.

"Selain itu, sebanyak 724 rumah di kawasan berkenaan sudah disembur dengan racun pembunuh nyamuk dan semua penduduk turut dibekalkan kelambu berubat.

"Aktiviti kawalan turut diperkukuhkan melalui aktiviti pemusnahan jentik-jentik bagi mencegah pembiakan nyamuk Anopheles (tiruk) di Pos Kemar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pos Kemar adalah kawasan diisytiharkan bebas malaria (kawasan hijau) memandangkan tiada kes dilaporkan di tempat berkenaan lebih tiga tahun lalu.

"Bagi mengekang penularan jangkitan ini, aktiviti pemeriksaan darah beramai-ramai sudah dilakukan bagi mengesan kes lain.

"Sehubungan itu, semua penduduk menjalani pemeriksaan dan diambil sampel darah mereka untuk pemeriksaan mikroskopi bagi mengesan jangkitan malaria, sama ada mereka mempunyai gejala jangkitan atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 12:54 PM