ANGGOTA forensik memeriksa kenderaan yang dipecah penjenayah.
Oleh Asmah Rusman


Petaling Jaya: Seorang pemilik kedai emas kerugian lebih RM800,000 selepas disamun tiga lelaki menaiki kereta di Jalan PJS 3/34, Taman Sri Manja, petang ini.

Ketika kejadian 1.30 petang, mangsa dan seorang rakan dikatakan baru tiba di hadapan premis yang dijadikan sebagai gudang penyimpanan emas miliknya.

Jurucakap polis berkata, sebaik mangsa masuk ke kawasan tempat kereta, sebuah kereta Toyota Camry bewarna biru berhenti sebelum keluar tiga lelaki memakai topeng.

"Seorang daripada suspek menuju ke tempat duduk mangsa mengambil kunci kereta, seorang lagi memecahkan tingkap di bahagian penumpang manakala seorang lagi rakan mereka membuka bonet dan mengambil beg berisi barang emas," katanya.

Katanya, mangsa dan rakannya tidak dicederakan. Semakan nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek disahkan palsu yang didaftarkan atas sebuah kereta Proton Saga milik seorang wanita berusia 24 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Disember 2014 @ 4:15 PM