Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Hazwan. FOTO HM
BERNAMA

Petaling Jaya: Penyerang kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri menamatkan musim ini dengan bergaya selepas membolot dua gelaran pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016 malam ini.

Bekas penyerang Selangor itu yang menyertai juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) musim depan dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai.

Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi bagi pasukan Kelantan melakar sejarah tersendiri dengan memenangi Anugerah Penjaga Gol Terbaik buat kali kelima selepas memenangi anugerah sama dari 2010 sehingga 2013.

Bekas kapten skuad kebangsaan Safiq Rahim pula memenangi gelaran Pemain Tengah Terbaik untuk kali keempat selepas memenangi anugerah sama pada 2011, 2012 dan 2015.

Dua individu penting membantu Kedah menjulang Piala Malaysia musim ini iaitu Muhammad Rizal Ghazali dan Tan Cheng Hoe masing-masing dipilih sebagai Pemain Pertahanan Terbaik dan Jurulatih Terbaik.

Bekas pemain sayap T-Team Muhd Safawi Rasid, yang sah menyertai JDT pada musim depan, pula dipilih sebagai Pemain Muda Harapan.

Pada majlis sama Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) selaku pentadbir Liga Malaysia turut memberi dua anugerah khas kepada individu memberi sumbangan kepada bola sepak tanah air.

Pemain Pulau Pinang Mohd Faiz Subri menerima penghargaan khas selepas disenarai pendek tiga calon akhir untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) manakala mendiang Ah Wa, yang merupakan peminat fanatik pasukan Liga Super Perak, menerima anugerah penghormatan khas.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali hadir majlis itu.

Anugerah Bola Sepak Kebangsaan dianjur setiap tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan FMLLP bagi mengiktiraf pencapaian dalam Liga Malaysia.

SENARAI PEMENANG

Pemain Paling Bernilai: Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

Penyerang Terbaik: Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)

Penjaga Gol Terbaik: Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pemain Pertahanan Terbaik: Muhammad Rizal Ghazali (Kedah)

Pemain Tengah Terbaik: Safiq Rahim (JDT)

Jurulatih Terbaik: Tan Cheng Hoe (Kedah)

Anugerah Fair Play: Negeri Sembilan

Pemain Wanita Terbaik: Dandree Rofinus (MISC-MIFA)

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super) - Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak, 7 gol)

Penjaring Terbanyak Import (Liga Super) – Jorge Pereyra Diaz (JDT, 18 gol)

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Perdana) – Abdul Malik Mat Ariff(Kuantan FA, 10 gol)

Penjaring Terbanyak Import (Liga Perdana) - Ilija Spasojevic (Melaka United, 24 gol)

Pasukan Bola Sepak Terbaik – Johor Darul Ta’zim

Kelab Penyokong Terbaik - Melaka United

Laman Media Sosial Terbaik – Johor Southern Tigers

Laman Web Terbaik – Johor Southern Tigers

Anugerah Komuniti – Subadron Aziz Football Academy dan Kindness Malaysia

Anugerah Khas Piala Presiden - Kelantan

Anugerah Khas Piala Belia – Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Bawah 17

Anugerah Khas Selamat Datang – MISC MIFA dan PKNP FC

Penghargaan Khas – Mohd Faiz Subri (Anugerah Puskas FIFA)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2016 @ 11:33 PM