POLIS Itali berdiri tidak jauh dari mayat Anis selepas dia ditembak mati di Milan, semalam. - AFP
POLIS Itali berdiri tidak jauh dari mayat Anis selepas dia ditembak mati di Milan, semalam. - AFP
Agensi

Rome: Lelaki Tunisia yang disyaki memandu sebuah trak dan merempuh pasar Krismas di Berlin hingga menyebabkan 12 orang terbunuh, ditembak mati oleh polis di Milan.

Bercakap pada sidang akhbar di Rome, Menteri Dalam Negeri Itali, Marco Minniti berkata, Anis Amrin ditembak mati selepas menembak dua polis yang cuba menyuruhnya berhenti untuk pemeriksaan rutin sekitar jam 3 pagi (10 pagi waktu Malaysia).

Pemeriksaan yang dilakukan pada mayat itu mengesahkan lelaki yang mati itu Anis, kata Minniti.

Menurutnya, Anis dengan tenang menarik senjata dari beg galasnya dan mula menembak.

Seorang daripada anggota polis itu cedera ketika berbalas tembakan dan perlu menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, keadaannya tidak mengancam nyawa, kata menteri itu.

Pihak berkuasa Itali mempunyai cap jari Anis kerana warga Tunisia itu pernah dipenjarakan di Sicily antara 2011 dan 2015.

Dia yang berusia sekitar 24 tahun diburu selepas serangan di Berlin Isnin lalu. Dia pernah tiba di Itali dari Tunisia ketika Kebangkitan Arab pada 2011.

Sejurus selepas tiba, dia dihukum penjara kerana memulakan kebakaran di sebuah pusat pelarian.

Selepas dibebaskan pada 2015, dia ke Jerman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:06 AM