Oleh: Anis Nabilla Md Wazilah

Georgetown: Peperiksaan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian Kota Bharu membabitkan 1,300 pelajar yang dijadualkan bermula 28 Disember ini ditangguhkan kerana banjir.

Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata, penangguhan itu membabitkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan, Pasca Siswazah Sains Perubatan dan Sains Kesihatan.

Katanya, pelajar kampus induk dan Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, yang terjejas akibat banjir diminta mendaftar dengan Bahagian Peperiksaan Universiti bagi menduduki semula peperiksaan.

"Peperiksaan akan diadakan semula dengan segera sebelum semester berakhir, namun ia bergantung kepada keadaan banjir.

"Kami memahami perasaan dan tekanan dihadapi pensyarah serta pelajar yang terjejas akibat banjir," katanya.

Menurut Omar, USM turut membuka Bilik Gerakan Banjir di semua tiga kampus sejak Rabu lalu selain bekerjasama dengan universiti lain bagi menguruskan kepulangan pelajar untuk menduduki peperiksaan.

"USM turut melancarkan kutipan bagi disalurkan kepada mangsa banjir dalam kalangan pelajar dan kakitangan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Disember 2014 @ 5:55 PM