MARIYANI dan Mat Kasim menunjukkan sijil pengangkatan Nurul Ain. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
MARIYANI dan Mat Kasim menunjukkan sijil pengangkatan Nurul Ain. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Seorang wanita merayu dan berharap urusan permohonan kerakyatan anak angkatnya mendapat jalan penyelesaian terbaik bagi mengelakan sebarang masalah berlaku di kemudian hari.

Mariyani Abd Rani, 47, bersama suaminya, Mat Kasim Mat Sajak, 45, dari Kampung Padang Serai, dekat Pantai Remis di sini, mengharapkan sinar dalam permohonan kali kedua itu yang dibuat pada Oktober, lalu.

Menurutnya, bapa kandung kepada anak angkatnya, Nurul Ain Umairah, 8, yang sudah menjadi anak susuannya itu adalah warga tempatan, manakala arwah ibunya warga Indonesia dan pasangan itu mempunyai lapan anak termasuk Nurul Ain.

"Ibu bapanya berkahwin secara sah dan ada dalam kalangan adik beradiknya mempunyai dokumen lengkap cuma tidak tahu dimana silapnya dia dan abangnya tidak mempunyai sebarang dokumen sejak saya ambil ketika berusia 10 bulan.

"Ketika itu bapanya memberitahu tidak mengetahui sijil nikah yang disimpan isteri yang sudah meninggal dunia kerana demam denggi seminggu sebelum kami mengambil Nurul Ain.

"Atas desakan hidup, bapanya terpaksa menyerahkannya kepada saya, tiga yang lain turut diserahkan kepada orang dan dua sahaja dijaga neneknya, manakala dua lain sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurut Mariyani, sejak dia menjaga anak angkatnya itu, hanya dua kali bapa kandungnya datang melawat dan sehingga kini gagal dikesan manakala neneknya yang dahulu tinggal di Ayer Tawar sudah berpindah ke Kedah.

"Sijil lahir dan pengangkatan sudah diperolehi walaupun prosesnya rumit dan kini kami menunggu keputusan permohonan kerakyatan untuk kali kedua kerana sebelum ini kami sudah mohon, namun keputusannya gagal tanpa diberitahu sebab.

"Keadaan ini membimbangkan kami kerana Nurul Ain semakin membesar jadi saya harap sangat permohonan kali ini lebih cepat dengan keputusan yang memihak kepada kami dan dapat diselesaikan sebelum usianya mencecah 12 tahun," katanya yang memiliki dua anak kandung.

Katanya, dia berusaha untuk memberikan masa depan yang baik buat anak perempuannya itu supaya pelajaran anaknya terjamin serta dapat menikmati kemudahan persekolahan yang diberikan selain memudahkan urusan akan datang seperti perkahwinan dan permohonan kad pengenalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 11:43 AM