RUNTUHAN mengakibatkan sebuah banglo dan empat kereta rosak. FOTO ihsan bomba
RUNTUHAN mengakibatkan sebuah banglo dan empat kereta rosak. FOTO ihsan bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


Cameron Highlands: Seramai 13 penghuni di Rumah Penginapan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Banglo Sharpless, Tanah Rata, di sini, diarahkan berpindah selepas berlaku tanah runtuh, 3 petang hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi berkata, runtuhan itu mengakibatkan banglo berkenaan mengalami kerosakan dibahagian hadapan.

Katanya, empat kereta yang diletakkan berdekatan banglo itu turut rosak dihempap runtuhan tanah dan tiada mangsa terbabit.

"Bomba menerima panggilan jam 3.11 petang dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum mengarahkan semua penghuni keluar dari lokasi berkenaan.

"Runtuhan itu berlaku disebabkan hujan dan kini kita sudah menutup keseluruhan kawasan itu kerana kemungkinan akan berlaku runtuhan susulan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:23 PM