ASRI (kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner 1, Mohd Nashir Ya (tengah) menunjukkan revolver bersama peluru yang dirampas. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Suami isteri dan wanita warga Thailand ditahan polis dalam serbuan di rumah di Taman Seri Pinang, Kulim, semalam dan revolver bersama sebutir peluru dirampas.

Dalam serbuan 1 pagi itu, suspek berusia 32 hingga 34 tahun itu ditahan untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, senjata api itu ditemui di atas kabinet dapur di rumah terbabit, manakala peluru hidup ditemui di dalam kereta.

Menurutnya, hasil siasatan lanjut mendapati senjata api itu dikesan digunakan dalam satu pergaduhan di kafe di Kulim sehari sebelum itu, di mana revolver berkenaan digunakan untuk mengetuk kepala mangsa.

"Lelaki terbabit bekerja sebagai pemandu jengkaut dipercayai terbabit dengan kes gaduh itu ditahan bersama isterinya dan rakan wanita warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut bagi membantu siasatan.

"Semua tangkapan kini ditahan reman sehingga 31 Disember ini untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat), selain Seksyen 8a Akta Senjata Api 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 2:09 PM