Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulai menyelamatkan lembu yang terperangkap dalam longkang berhampiran Taman Scientex Pulai dekat Pulai Indah, pagi semalam. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulai menyelamatkan lembu yang terperangkap dalam longkang berhampiran Taman Scientex Pulai dekat Pulai Indah, pagi semalam. FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pulai menyelamatkan lembu yang terperangkap dalam longkang berhampiran Taman Scientex Pulai dekat Pulai Indah, di sini, pagi semalam.

Pasukan bomba itu menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 8.40 pagi dan segera ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan lembu yang dianggarkan seberat 100 kilogram itu.

Ketua BBP Pulai Mohd Azrai Yahaya berkata, pihaknya tiba di lokasi pada 9.10 pagi dan mengambil masa kira-kira 25 minit bagi mengeluarkan lembu berkenaan yang terperangkap dalam longkang bersebelahan jalan besar itu.

Beliau yang ke lokasi bersama empat anggota berkata, tiada peralatan khas yang digunakan pihaknya, sebaliknya hanya menggunakan tali dan kerusi, bagi membantu lembu berkenaan naik ke atas jalan.

"Lembu ini agak agresif mungkin kerana bahagian atas badannya sudah cedera kerana bergesel dengan penutup longkang. Selepas ia berjaya dikeluarkan, lembu itu berlari masuk semula ke kawasan kebun sawit berhampiran," katanya yang kemudian menamatkan operasi pada 9.35 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 4:31 PM