Bandar raya Aleppo kini bagaikan bandar berhantu. - Foto Agensi
Serpihan bom di depan gereja kurun ke-13 yang kini rosak teruk. - Foto Agensi
Masjid yang menempatkan makam Nabi Zakaria hilang keindahannya. - Foto Agensi
Masjid yang dulunya indah kini rosak teruk. - Foto Agensi
Kemusnahan bahagian dalam masjid akibat bedilan meriam dan serang udara. - Foto Agensi
Keadaan Masjid Umayyad atau Masjid Besar sebelum dan selepas perang. - Foto Agensi
Agensi

Aleppo: Bedilan meriam, mortar dan serangan udara dalam perang hampir lima tahun menyebabkan Aleppo, bandar raya terbesar Syria sebelum perang dengan lebih tiga juta penduduk, kini hanya tinggal runtuhan dengan ekonominya musnah sama sekali.

Terletak di persimpangan laluan perdagangan kuno, Aleppo menjadi nadi industri Syria dengan kilang tekstil, plastik dan farmaseutikal manakala keindahan bangunan bersejarah di Bandar Lama yang tersenarai dalam Warisan Dunia UNESCO, menarik jutaan pelancong setiap tahun.

Kini, Aleppo bagaikan ‘pekan hantu’ seperti bandar raya yang musnah ketika Perang Dunia Kedua. Sebelum perang, bandar raya itu mempunyai 550,000 rumah yang dianggar bernilai lebih RM200 bilion namun perang menyebabkan kemusnahan penempatan bernilai lebih RM100 bilion, tidak termasuk kemusnahan lain seperti kilang dan infrastruktur.

Antara 70 hingga 80 peratus kemusnahan itu berlaku di timur, wilayah dikuasai penentang yang dibedil dan dibom pesawat Russia hampir setiap hari sejak lebih setahun lalu.

Bandar Lama Aleppo yang padat dengan penduduk, diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO pada 1986. Ia mempunyai Gereja kurun ke-13 dan Masjid Besar kurun kelapan yang kedua-duanya kini rosak teruk.

Lebih 150 bangunan di bandar itu musnah termasuk separuh ‘pasar lama’ yang menjadi tumpuan pelancong serta nadi ekonomi penduduknya.

Sebelum perang, Masjid Besar juga dikenali sebagai Masjid Umayyad yang mengandungi makam Nabi Zakaria, menjadi mercu tanda Aleppo. Menara masjid berkenaan musnah akibat bedilan pada 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 5:28 PM