SHAARANI (tengah) menunjukkan beg serta jam tangan wanita tiruan yang dirampas. FOTO Nor Farhani Che Ad
SHAARANI (tengah) menunjukkan beg serta jam tangan wanita tiruan yang dirampas. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


Sungai Petani: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani merampas 96 aksesori wanita tiruan bernilai RM6,000.

Ketua KPDNKK Cawangan Sungai Petani, Shaarani Miskat berkata, serbuan dijalankan di premis pusat beli belah di bandar ini selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagangan jenama terbabit.

Beliau berkata, empat anggota diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa, Mohd Affandi Abdul Rahman melakukan operasi berkenaan, 11.30 pagi tadi.

"Selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagangan aksesori terbabit tiga hari lalu, satu operasi dijalankan di premis terbabit yang menjadi lokasi penjualan dan pengedaran pakaian tiruan di pusat membeli belah utama di bandar ini.

"Antara barangan yang dirampas adalah 22 beg tangan, 13 dompet dan 61 jam tangan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, aksesori tiruan berkenaan membabitkan jenama Bonia, Sembonia, Carlo Rino dan Hermes yang dijual sekitar RM50 hingga RM200.

Beliau berkata, hasil serbuan yang dijalankan, lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai pekerja kedai terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, jika sabit kesalahan bagi individu adalah denda RM10,000 bagi setiap unit barang atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-keduanya sekali.

"Bagi syarikat yang didapati bersalah, denda sebanyak RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 7:02 PM