KELUARGA mangsa. - DM
KELUARGA mangsa. - DM
Agensi

Beijing: Seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang belajar memandu di Internet membunuh seorang pejalan kaki selepas melanggarnya ketika ‘berlatih’ menggunakan kereta yang dicurinya.

Media China melaporkan, kanak-kanak itu melarikan diri selepas melanggar mangsa berusia 30 tahun di bandar Taicang, timur China, pada 19 Disember lalu.

Portal berita Huanqiu melaporkan kanak-kanak itu peminat kereta dan kerap mengikuti tutorial di Internet yang mengajar cara memandu kereta.

Pada hari kejadian, kanak-kanak itu pergi ke sebuah kedai kereta sewa untuk melihat kereta dan melarikan satu kenderaan selepas berjaya menghidupkan enjinnya tanpa membuat bayaran.

Ketika cuba memotong sebuah kereta di simpang empat, kanak-kanak itu memandu masuk ke laluan sikal dan merempuh mangsa yang sedang melintas.

Dia kemudian melarikan diri dari tempat kejadian. Suspek dan mangsa tidak didedahkan identiti, namun lelaki berusia 30 tahun itu dilaporkan bakal menimang anak sulung.

Suspek kini dalam tahanan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 7:37 AM