Jamal (kiri) dan A Rahman. FOTO HM/SDT/NJ
Jamal (kiri) dan A Rahman. FOTO HM/SDT/NJ


Hulu Kelang: Penyanyi tersohor, Datuk Jamal Abdillah menziarahi penyanyi bintang lagenda, Tan Sri S M Salim yang tenat di kediamannya, di sini, malam ini.

Menurut Jamal, dia mendapat khabar itu menerusi khidmat kumpulan WhatsApp, hari ini.

"Ketika sedang bermesyuarat saya dimaklumkan mengenai perkhabaran ini sekitar jam 7 malam tadi daripada pengarah Datin Paduka Shuhaimi Baba dalam kumpulan WhatsApp kami yang terdiri beberapa artis veteran lain.

"Sudah lama saya tidak bertemu dengan beliau. Kali terakhir ketika saya diundang ke konsert beliau bersama Saleem sekitar 20 tahun lalu," katanya.

Jamal yang pernah berduet dengan beliau menerusi Lagu Zaman berkata, penyanyi veteran itu adalah seorang penulis lirik yang hebat dan disegani ramai.

"Menerusi lagu itu beliau menulis lirik secara spontan dan saya sangat menghormati beliau sebagai seorang penyanyi lagenda yang berbakat besar dan merindui tulisan lagu beliau yang penuh mesej dan bermakna,"katanya.

Sementara itu, penyanyi era 60-an, Datuk A Rahman Hassan berkata, kali terakhir dia bertemu S M Salim bulan lalu.

"Ketika berpeluang melawat keadaan kesihatannya ketika itu masih boleh duduk dan berbual.

"Namun petang tadi saya dimaklumkan keadaannya sudah tenat dan sudah tiada harapan.

"Saya dan SM Salim memang rapat sejak dahulu . Lagi pula kami berkongsi tarikh lahir yang sama,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2016 @ 10:49 PM