Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Cameron Highlands : Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Lemoi di Kampung Cheros, Pos Lemoi di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa Rahimah Wahid yang juga penduduk kampung orang asli di kawasan berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam sungai akibat tergelincir ketika melalui jambatan kecil di situ.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa bersama beberapa penduduk kampung melalui jambatan berkenaan sebelum mangsa cuba untuk membetulkan selipar dipakainya.

Katanya, ketika cuba membetulkan seliparnya itu, mangsa tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus deras sungai berkenaan.

"Kerja-kerja mencari terpaksa dihentikan kira-kira 7 malam semalam berikutan cuaca gelap dan operasi diteruskan semula pagi ini namun sehingga sekarang mangsa masih belum ditemui," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 3:34 PM