KEMENANGAN selesa ke atas Stoke azimat Reds terus rapat jurang dengan Chelsea.
AFP

Liverpool, England: Pengurus Liverpool Juergen Klopp tidak sabar menanti pertemuan menentang Pep Guardiola sekali lagi selepas menyaksikan Reds bangkit menundukkan Stoke City 4-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi semalam.

Reds kembali melonjak di depan Manchester City di tangga kedua carta dan jurang enam mata di belakang pendahulu Chelsea, selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut mereka serta mengekalkan rekod tanpa kalah di Anfield musim ini.

Kemenangan itu, diraih menerusi gol Adam Lallana (m-34), Roberto Firmino (m-44), Daniel Sturridge (m-70) dan gol sendiri Giannelli Imbula (m-59), menggembirakan Liverpool sebelum pertembungan menjelang Tahun Baharu di laman sendiri menentang City, yang mana pengurus mereka berada di Anfield meninjau kekuatan pasukan itu.

“Saya tidak pasti sama ada beliau banyak menyaksikan perlawanan di stadium lain dalam beberapa minggu terakhir. Ia satu petanda awal satu perlawanan istimewa dan kami sudah tidak sabar menantinya,” jelas Klopp.

Pengendali Jerman itu, yang bertembung dengan Guardiola ketika masing-masing menguruskan Borussia Dortmund dan Bayern Munich sebelum ini, mengakui agak sukar untuk melihat pasukan lawan beraksi hari ini kerana pengurus bertaraf bintang Liga Perdana berdepan risiko lebih banyak menandatangani autograf berbanding menonton aksi sebenar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 7:24 AM