GIROUD (atas) jaring gol kemenangan ketika bertemu West Brom, baru-baru ini.
GIROUD (atas) jaring gol kemenangan ketika bertemu West Brom, baru-baru ini.
Reuters

London: Olivier Giroud berharap dapat turun dalam kesebelasan utama lebih kerap bersama Arsenal selepas penyerang Perancis itu menyumbat gol lewat perlawanan ketika menang 1-0 ke atas West Brom di Stadium Emirates, Isnin lalu.

Giroud sudah menjaringkan enam gol dalam 16 penampilan namun kerap menjadi penghuni bangku simpanan Arsenal musim ini ketika pengurus Arsene Wenger lebih suka menggunakan pemain sayap Alexis Sanchez sebagai penyerang tengah.

“Ia mengenai mengekalkan fokus pada tahap tertinggi. Sentiasa bekerja keras dalam latihan. Saya bercakap dengan bos, kami berbincang beberapa kali dan beliau menjelaskan kenapa saya tidak selalu mendapat peluang bermain,” kata Giroud.

Pemain berusia 30 tahun itu, yang diberikan peluang beraksi dalam kesebelasan utama Liga Perdana kali pertama musim ini Isnin lalu, memberikan ingatan mengenai kehebatannya meledak gol apabila dia memecah kebuntuan bagi kemenangan penting ke atas West Brom.

“Tapi bola sepak sering kali mencetus satu lembaran baharu, seperti yang biasa saya katakan dan anda perlu sentiasa kekal fokus dan menanti peluang anda,” ujarnya.

“Harap semuanya akan berubah buat saya tapi selagi pasukan semakin meningkat, saya tetap gembira.”

Pertahanan Laurent Koscielny memuji Giroud dan menasihatkan pemain supaya merebut peluang beraksi dalam kesebelasan utama Wenger dengan mencontohi sikap rakan senegaranya.

“Kami bukannya 11 atau 18 pemain, kami ada 25 pemain. Semua pemain yang beraksi untuk Arsenal memainkan peranan besar sepanjang musim kerana kecederaan dan penggantungan,” kata Koscielny.

“Setiap orang perlu sedia berjuang demi kelab ini. Olivier turun dalam kesebelasan utama dan dia cuba memberikan yang terbaik di tengah padang. Ia amat penting kerana minggu lalu kami kalah dua perlawanan dalam tempoh tujuh hari dan kami mahu kembali mencetak kemenangan serta meraih tiga mata.”

Arsenal, yang menghuni tangga keempat, sembilan mata di belakang pendahulu Chelsea selepas 18 perlawanan, menanti kunjungan pasukan tangga ke-17 Crystal Palace, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 8:08 AM