TIMBALAN Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Jalil Hassan (tiga kanan) bersama pegawainya menunjukan dua pucuk pistol dan 49 butir peluru hidup yang dirampas. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Polis merampas sepucuk pistol semi auto jenis glock dan sepucuk pistol tiruan bersama 49 butir peluru hidup susulan penahanan dua lelaki di Kulim, dekat sini, dalam Ops Api Laras Kawa II minggu ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abd Jalil Hassan berkata, penemuan dua senjata api itu hasil tangkapan pertama seorang lelaki berusia 34 tahun di Taman Seri Pinang, Kulim bersama sepucuk revolver pada 25 Disember lalu.

Menurutnya, soal siasat ke atas suspek, dia kemudian memberitahu rakannya berusia 32 tahun turut memiliki pistol.

"Kita kemudian mengesan suspek dan menahannya jam 3 pagi Selasa lalu di sebuah rumah di Lorong Sekolah Convernt, Kulim.

"Pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol semi auto jenis glock 3C Austria .45 bersama 49 butir peluru di dalam plastik hitam yang disembunyikan di depan halaman rumahnya," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, tadi.

Abd Jalil berkata, siasatan lanjut kemudiannya menemui sepucuk pistol tiruan, dua butir peluru hidup, sepasang gari dan topeng muka ditanam di halaman rumah di Taman Selasih, Kulim pada Rabu lalu.

"Suspek berusia 32 tahun itu juga memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan senjata api dan kita sedang menyiasat sama ada mereka berdua ini terbabit dalam kegiatan dadah atau kongsi gelap.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat), selain Seksyen 8a Akta Senjata Api 1960," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki memiliki sepucuk revolver bersama sebutir peluru mengundang padah apabila dia ditahan bersama isteri dan rakan wanitanya warga Thailand di sebuah rumah di Taman Seri Pinang, Kulim, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 3:14 PM