SYAZUWAN akui tertekan apabila diberi watak utama untuk drama slot Lestary TV3.
Syafil Syazwan Jefri


Selepas lapan bulan bergelar selebriti, pelakon yang bakatnya dicungkil menerusi bengkel Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), Syazuwan Hassan mula diberi tanggungjawab menggalas peranan utama dalam drama.

Menurut pelakon drama bersiri Sein dan Luna ini, meskipun bebanan yang dipikul semakin berat, demi minat dia berusaha memberikan yang terbaik setiap kali beraksi depan kamera.

“Ini pengalaman pertama saya pegang watak utama. Debarannya lebih terasa malah saya sedikit tertekan apabila memikirkan jangkaan peminat pasti tinggi memandangkan drama ini untuk slot Lestary TV3.

“Diharap peminat dapat menerima lakonan saya,” katanya.

Sebagai pendatang baru dalam industri, Syazuwan mengakui namanya belum kukuh namun bersyukur dengan rezeki yang diterima.

“Sepanjang tempoh lapan bulan, kerjaya saya berjalan lancar. Walaupun belum cukup dikenali, tawaran berlakon tak pernah putus. Ia pencapaian yang boleh dibanggakan,” kata Syazuwan.

Ditanya sama ada dia dapat menyesuaikan diri dengan jadual kerja yang tidak menentu, Syazuwan menegaskan dia tidak menghadapi masalah.

“Pada mulanya, saya ingat bidang ini mudah tetapi rupa-rupanya ia menuntut banyak pengorbanan terutama dari segi masa.

“Sebagai pelakon, saya belajar untuk jadi lebih berdisiplin dan bijak menguruskan masa.

“Adakalanya saya rasa penat dengan kerja. Apa tidaknya, penggambaran berlangsung sehingga awal pagi. Namun saya reda kerana ia minat saya,” katanya.

Bercerita lanjut drama Sein dan Luna, Syazuwan berkata dia melakonkan watak sebagai Hussein atau Sein dan bergandingan dengan Mimi Lana, Ariz Lufiaz, Ung­ku Ismail Aziz, Ika Nabila dan ramai lagi.

Selain itu, Syazuwan menantikan tayangan filem pertama lakonannya berjudul Pulang arahan Kabir Bhatia.

“Tak sabar rasanya mahu melihat reaksi penonton terhadap filem yang turut dibintangi Remy Ishak dan Puteri Aishah ini. Kelainan filem ini adalah ia bergenre epik,” katanya.

Ditanya mengenai watak idaman, Syazuwan berkata dia ingin tampil lasak.

“Kalau diberi peluang saya mahu melakonkan watak aksi dan melakukan sendiri semua babak aksi. Sebelum ini saya pernah cuba melakonkan watak psiko, jejaka perasan dan pelajar sekolah.

“Meskipun tidak pernah menghadiri kelas silat atau seni mempertahankan diri lain, andai ada tawaran watak sebegini saya bersedia untuk belajar,” katanya.

Selain berlakon Syazuwan turut mengembangkan bakat sebagai pengacara dan kini mengendalikan program Mbuzz di TV3.

“Mbuzz membuka ruang kepada saya meneroka dunia pengacaraan. Banyak ilmu baru yang saya belajar apabila mengacarakan program ini.

“Mungkin sedikit klise, tetapi saya memang teringin mengacarakan program pelancongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:00 AM