JUE bersama suami dan anak angkat mereka.
Ramlah Zainal


Bidang seni sudah sebati dengan dirinya sejak lebih sedekad lalu. Selepas memperlahankan seketika aktiviti seni kerana memberi fokus pada rumah tangga, pelakon Jue Aziz kembali mengubat kerinduannya dalam bidang lakonan.

Bagi pemilik nama sebenar Zuliana Abd Aziz, 33, ini dia juga tidak berasakan penampilan berhijab akan membataskan watak lakonannya dalam drama mahupun filem.

“Terus terang, saya penggemar aktiviti lasak sejak dulu. Saya menanti peluang berlakon dalam filem aksi. Saya juga bersedia melakonkan sendiri aksi lagak ngeri sendiri.

“Saya berharap ada penerbit dan pengarah berminat menawarkan saya watak sedemikian tidak lama lagi,” katanya.

Jue ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikannya sebagai duta produk Queen Of Mutiara yang berlangsung di sini, baru-baru ini.

Jue juga bersyukur kerana ramai penerbit dan pengarah masih memberikan kepercayaan kepadanya beraksi dalam drama dan filem ketika ini.

“Saya masih lagi menerima tawaran walaupun sudah bergelar isteri orang dan berhijab.

“Saya juga tidak kisah melakonkan watak pembantu atau watak kecil dalam drama dan filem asalkan dapat kembali berlakon.

“Antaranya filem Mat Moto Otai arahan Ahmad Idham yang sudahpun ditayangkan di pawagam tempatan. Selain itu, saya baru selesai penggambaran telefilem Rombongan Marhaban Sesat Jalan untuk TV9,” katanya.

Tidak sabar timang cahaya mata

Jue mengakui sudah bersedia bergelar ibu namun rumah tangga yang dibina bersama pemuzik Indonesia, Bayu Daniels pada 2014 belum diserikan dengan cahaya mata.

“Saya akur belum rezeki kami lagi untuk menimang zuriat selepas tiga kali mengalami keguguran sepanjang tiga tahun berkahwin.

“Kali pertama, saya mengalami keguguran sewaktu dalam perjalanan pulang ke kampung mentua di Makassar, Sulawesi akibat hentakan kenderaan di jalan tidak rata dan pendarahan berlaku.

“Selepas berhijrah, saya mengalami gangguan mistik dan ia juga antara penyebab kandungan saya gugur.

“Bagaimanapun, kesunyian kami terisi dengan kehadiran anak angkat yang kini berusia empat tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kata Jue, dia juga lebih berhati-hati menguruskan perniagaan kerana pernah ditipu pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini.

“Saya pernah ditipu rakan niaga yang mengunakan populariti saya untuk melariskan jualannya.

“Mungkin kerana saya seorang yang lembut hati, apabila ditawar untuk bekerjasama, saya terus terima dengan niat mahu bantu orang lain berniaga.

“Namun, selepas berhijrah ke luar Kuala Lumpur dan berehat seketika daripada dunia lakonan, individu terbabit menghilangkan diri dan menyerahkan segala urusan kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:02 AM