POAD (kanan) gusar tidak dapat pelari sesuai.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tempoh lapan bulan sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur bermula, menggusarkan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim kerana beliau masih belum dapat menyatukan pelari terbaik negara bagi membentuk kuartet 4x100 meter.

Jika dihitung, tempoh masa yang ada itu terlalu pendek terutama ketika Jonathan Nyepa menolak cadangan untuk berlatih bersama pemegang rekod 100m negara Khairul Hafiz Jantan (gambar kecil) dan Badrul Hisyam Abdul Manap di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Terdahulu Poad pernah menyuarakan hasratnya untuk mendapatkan lima atlet pecut terbaik negara yang akan disatukan sebagai kuartet dengan membabitkan Khairul, Badrul, Haikal Hanafi, Jonathan Nyepa dan Muhammad Aqil Yasmin.

Namun hingga kini hanya Aqil menyatakan persetujuan berlatih bersama ketika Jonathan memilih untuk menjalani latihan hanya bagi jangka masa pendek.

“Agak susah membentuk persefahaman jika mereka tidak dapat disatukan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kekecewaannya kerana perkara itu sudah beberapa kali diusulkan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk diambil tindakan namun hingga kini masih belum ada sebarang tindakan.

Pada temasya Sukan SEA 2015 Singapura, kuartet negara yang membabitkan Jonathan, Mohd Izzuddin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan 39.67 saat.

Namun catatan itu tidak cukup menjanjikan pingat kerana dikuasai barisan atlet Thailand Ruttanapon Sowan, Aphisit Promkaew, Jirapong Meenapra dan Jaran Sathoengram yang merekodkan 38.99s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 7:18 AM