ANA duduki ranking nombor satu dunia dan menang di Roland Garros pada 2008.
ANA duduki ranking nombor satu dunia dan menang di Roland Garros pada 2008.
AFP

Paris: Bekas pemain nombor satu dunia Ana Ivanovic mengumumkan persaraannya daripada tenis semalam, mengakui tuntutan fizikal dalam sirkit terbukti terlalu sukar untuk ditangani.

Pemain Serbia berusia 29 tahun itu menghuni tangga teratas selama 12 minggu pada 2008, yang menyaksikan dia merangkul gelaran Grand Slam tunggal dengan menjuarai Terbuka Perancis.

“Saya memutuskan untuk bersara daripada tenis profesional,” umum Ana selepas karier selama 13 tahun.

“Ia satu keputusan yang sukar, tapi ada banyak yang boleh diraikan.

“Saya menduduki ranking nombor satu dunia dan menang di Roland Garros pada 2008. Saya sudah mencapai tahap tertinggi yang tidak pernah saya impikan.

“Saya menang 15 kejuaraan perseorangan Jelajah WTA, saya beraksi tiga final Grand Slam dan satu final Piala Fed serta bermain banyak perlawanan yang mencetus kenangan.

“Namun untuk berada di tahap tertinggi dalam mana-mana sukan profesional memerlukan fizikal terbaik dan sudah diketahui saya sering dibelenggu kecederaan.

“Saya hanya boleh bermain jika saya beraksi pada tahap tersendiri dan saya tidak mampu lagi melakukannya.”

Penampilan terakhir Ana adalah kekalahan pada pusingan pertama Terbuka AS September lalu, keputusan yang menyaksikannya terkeluar daripada kelompok 50 terbaik dunia buat kali pertama sejak 2010.

Dia mengumumkan ketika itu untuk berhenti bermain hingga 2017 berikutan nasihat doktor mengenai kecederaan pergelangan tangan yang berulang, manakala jari kaki yang bermasalah turut memerlukan pembedahan.

Pengerusi WTA Steve Simon menganggap Ana “juara sejati dan duta hebat buat sukan tenis wanita.”

“Dia banyak menyumbang terhadap sukan ini, sama ada di negaranya Serbia mahupun di serata dunia,” tegas Simon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 7:20 AM