Kuala Lumpur: Masalah bekalan elektrik dan air yang terputus di negeri dilanda banjir dipantau rapi oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

Menurut kenyataan KeTTHA, tindakan segera sudah diambil menerusi Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan operator bekalan air seluruh Negara selain bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“TNB sudah menubuhkan bilik gerakan di ibu pejabat dan di setiap negeri untuk memantau keadaan bekalan elektrik yang beroperasi 24 jam. Sebanyak 56 set janakuasa bergerak di kawasan kritikal seperti hospital dan pusat pemindahan mangsa banjir sudah dihantar .

“Pada masa sama, Lebih 1,000 warga kerja TNB dikerahkan ke kawasan yang terjejas akibat banjir. Semua operator air juga sudah membuka bilik gerakan yang beroperasi 24 jam di negeri masing-masing untuk memantau situasi bekalan air ketika banjir,” katanya.

Menurutnya, setakat ini TNB menghentikan sementara operasi 2,318 pencawang elektrik yang membabitkan sejumlah 150,852 pengguna di negeri yang terbabit banjir atas sebab keselamatan.

“Sebanyak 40 loji rawatan air di Kelantan, Pahang dan Perak juga ditutup menyebabkan 191,069 pengguna terjejas. Di Terengganu dan Perlis, bekalan air masih beroperasi seperti biasa walaupun beberapa kawasan di negeri itu terjejas akibat banjir, tetapi KeTTHA tetap memantau secara rapi paras empangan dan bekalan elektrik serta bekalan air di negeri itu.

“Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah menghantar bekalan air melalui lapan lori tangki ke premis kritikal seperti pusat pemindahan dan hospital, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyediakan 30 lori tangki untuk membekalkan bekalan air kepada pengguna yang terjejas, manakala Lembaga Air Perak (LAP) menyediakan lapan lori tangki untuk membekalkan bekalan air kepada 600 akaun pengguna yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, TNB turut membekalkan sebanyak 12,000 kilogram bantuan makanan, minuman dan pakaian kepada mangsa banjir dengan bantuan Rejimen Askar Jurutera DiRaja (70 RAJD).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 8:02 PM
Digital NSTP Subscribe