Mohd Hilmie Hussin


Alor Gajah: Seorang parah manakala tiga cedera apabila lori membawa set generator dan treler muatan kelapa, terbabit kemalangan di Kilometer 202.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Kawasan Rehat Ayer Keroh, hari ini.

Dalam kejadian 3.15 pagi itu, bahagian belakang lori 10 tan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur dipercayai dilanggar treler muatan 30 tan dari arah sama.

Menurut sumber, sebaik berlaku perlanggaran, lori itu terbabas ke kiri jalan sebelum berhenti dalam longkang, manakala treler melanggar pembahagi tengah jalan sebelum terbalik di lorong laju arah bertentangan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Ayer Keroh, PBK II Dzulkarnain AbdHalim berkata, pemandu treler parah manakala kelindannya dan pemandu bersama kelindan lori cedera.

"Pemandu treler muatan kelapa dipercayai patah kaki kiri manakala tiga lagi cedera ringan.

"Semua mangsa tidak tersepit namun kita mengambil masa 20 minit untuk menyelamatkan semua mangsa," kata Dzulkarnain ketika dihubungi.

Menurutnya, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan ambulans hospital dan ambulans EMRS.

Hingga 7 pagi tadi, treler terbabit belum dialihkan dan pengguna lebuh raya diminta berhati-hati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 7:28 AM
KEADAAN treler yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
KEADAAN lori yang terbabas selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
KEADAAN treler yang terbalik selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan