SUKARELAWAN membantu memindahkan warga emas ke tempat selamat di sebuah kampung di Aceh, semalam.
SUKARELAWAN membantu memindahkan warga emas ke tempat selamat di sebuah kampung di Aceh, semalam.
Agensi

Banda Aceh

Keadaan banjir di Aceh Utara semakin buruk sehingga memaksa 95,000 penduduk berpindah ke pusat perlindungan sementara.

Ketua Jabatan Masyarakat daerah berkenaan, Amir Hamzah berkata, 285 kampung di daerah itu terjejas selepas hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Amir yang menyifatkan bah kali ini sebagai yang terburuk dalam tempoh puluhan tahun berkata, beberapa kampung tenggelam sehingga dua meter.

“Pasukan penyelamat yang terdiri daripada tentera dan polis serta dibantu sukarelawan bertungkus lumus membantu mangsa, membawa mereka ke pusat perlindungan, termasuk surau dan masjid,” katanya.

Keadaan bertambah buruk apabila beberapa kawasan tiada elektrik selepas pihak berkuasa memutuskan bekalan atas alasan keselamatan.

Menurut Amir, daripada 25 daerah yang terjejas, 18 amat teruk. Bagaimanapun sehingga ini, jumlah korban tidak diketahui.

“Proses memindahkan penduduk tidak berjalan lancar kerana kekurangan peralatan. Namun petugas berusaha sedaya upaya membantu mereka memandangkan keadaan semakin teruk dan hujan dijangka terus melanda di kawasan berkenaan,” kata Amir.

Amir juga mengaku pihaknya mengalami masalah kekurangan bekalan makanan untuk disalurkan kepada mangsa.

Daripada 100 tan beras yang disediakan, 70 tan sudah diagihkan. Baki 30 tan diedarkan hari ini (semalam).

“Kami mengharapkan sangat bantuan daripada pihak berkuasa Aceh dan kerajaan pusat di Jakarta untuk menghantar bantuan makanan seberapa segera. Penduduk hanya datang ke pusat pemindahan dengan membawa pakaian mereka saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 8:27 PM