PESERTA bertungkus lumus mengangkut dahan dan ranting yang dipotong pada majlis gotong royong di Kampung Cina . FOTO Rozainah Zakaria
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri bersedia menanggung 50 peratus bil elektrik tambahan bangunan-bangunan di sekitar bandar raya yang menjadi tumpuan pelancong sempena ‘Visit Beautiful Terengganu 2017.’

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata, ia membabitkan kawasan yang berada dalam lingkungan radius satu kilometer dari Paya Bunga Square.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi menggalakkan penduduk terutama yang tinggal di kawasan bandar menceriakan kediaman mereka.

"Sebagai contoh, sekiranya bil bulanan mereka adalah RM500 tetapi pencahayaan yang dibuat menyebabkan bil elektrik meningkat kepada RM750, kita akan bayar 50 peratus daripada bil tambahan RM250 itu.

"Penduduk perlu memanjangkan bil itu kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk diserahkan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan bantuan tambahan elektrik itu," katanya ketika ditemui pada Program Gotong-royong di Kampung Cina, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw dan Datuk Bandar MBKT, Mohd Zulkifli Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 2:01 PM