X
Nor Azlan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku salah mencuri duit dan tong gas dua surau serta sebuah masjid. FOTO Faiz Anuar
Nor Azlan dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku salah mencuri duit dan tong gas dua surau serta sebuah masjid. FOTO Faiz Anuar
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Lelaki berusia 32 tahun mengaku salah selepas mencuri wang tunai dan tong gas di dua surau dan sebuah masjid berjumlah RM900 di Mahkamah Majistret Shah Alam tengah hari tadi.

Tertuduh Nor Azlan Shah Yahya, 32, dari Kuang, dekat sini membuat pengakuan itu dihadapan Majistret P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 28 September 2015 kira-kira jam 12.20 tengah hari di Masjid An Nur, Jalan Seri Pagi 13, Saujana Utama Sungai Buloh, mencuri wang tunai RM200 dan dua tong gas memasak bernilai RM300.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh pada 21 April lalu pada jam 3.45 petang di Surau Makmuriah Jalan Sungai Buloh - Kuala Selangor mencuri wang tunai RM200 di surau berkenaan dan pertuduhan ketiga, tertuduh pada 16 Disember lalu di Surau Al Falah di No 10, Jalan 13/2 Bandar Puncak Alam mencuri wang tunai kira-kira RM400.

Bagi semua pertuduhan itu pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda.

Selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, tertuduh mengaku salah ke atas semua pertuduhan itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua minggu dan denda RM500 atau penjara dua minggu jika gagal membayar denda.

Manakala pertuduhan ketiga, tertuduh dipenjara dua minggu dan denda RM1,000 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda dan setiap hukuman dijalankan berasingan.

Sebelum ini, perbuatan Nor Azlan itu tular (viral) di laman sosial selepas rakaman CCTV dia mencuri tersebar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 5:09 PM