Keadaan ombak di kawasan pantai Kampung Kolam, Mengabang Telipot. FOTO Zaid Salim

Kuala Nerus: Kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi membina lagun seluas kira-kira 50 meter di kawasan pantai Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di sini, yang terhakis akibat fenomena ombak besar sejak Rabu lalu.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus Datuk Basir Ismail berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM1.2 juta yang diluluskan bagi membina benteng pemecah ombak di pantai berkenaan tahun lalu.

"Projek membina lagun kecil akan dilakukan secepat mungkin tetapi ia bergantung kepada keadaan cuaca kerana kita perlu melihat aspek keselamatan pekerja," katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum itu, Basir menghadiri perjumpaan selama dua jam bersama penduduk serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu dan beberapa agensi berkaitan di Pejabat Daerah Kuala Nerus, di sini.

Menurutnya, keputusan membina lagun kecil dibuat berikutan cadangan penduduk yang kurang bersetuju pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan itu memandangkan ia adalah kawasan pendaratan ikan bagi nelayan pantai di kampung berkenaan.

"Nelayan membuat cadangan berdasarkan pengalaman sebagai orang pantai manakala JPS pula lebih kepada teknikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2016 @ 10:45 PM