SUDUT di hujung ruang tamu dipenuhi dengan perabot kayu sepadan dengan dinding dengan kemasan kertas dinding bercorak.
SATU sudut dinding ruang tamu dihiasi perabot besi inspirasi gaya Amerika moden turut dipenuhi dengan cermin bagi membuatkan ruang itu kelihatan lebih luas.
UBAH suai kamar tidur kedua menambah binaan katil dua tingkat bagi memaksimumkan penggunaan ruang yang kecil.
RUANG bacaan dihiasi kain langsir corak bunga dan kayu panel solid membangkitkan suasana Eropah.
HIASAN bunga orkid membangkitkan elemen segar di satu sudut ruang tamu.
SALAH satu kamar tidur diubah suai menjadi bilik pakaian dipenuhi dengan binaan almari mencecah siling bagi memaksimumkan ruang penyimpanan.
MEMILIH konsep 'pulau' untuk meja makan bagi memastikan penggunaan ruang yang efisien.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Bijak menyusun atur dan memanfaatkan ruang terhad mampu mewujudkan suasana selesa dan elegan pada ruang kediaman.

Sibuk bekerja dan masih bujang, bukan alasan buat Zafirah Zakaria, 27, mengabaikan tata rias rumah miliknya itu.

Menjejakkan kaki ke kondominiumnya di Ampang, Selangor membuatkan penulis teruja melihat keindahan segenap ruang rumah yang indah.

Menurut Zafirah, dia sering dibantu ibu dan kakak terutama dalam pemilihan perabot dan seni susun letak rumah tanpa melantik pereka dalaman.

Meninjau keseluruhan ruang, kondominium seluas sekitar 1,300 kaki persegi itu dihiasi teliti pada setiap ruang.

Dekorasi setiap ruang bukan saja kelihatan kemas dan elegan malah turut mendapat sentuhan peribadi pemilik kediaman ini sendiri.

Menekankan dekorasi moden Eropah, setiap ruang menampilkan cita rasa pemilihan perabot berlainan bagi mewujudkan suasana dan ‘mood’ berbeza.

Antara dekorasi yang mencuri perhatian penulis adalah ruang bacaan yang terletak antara ruang tamu dan balkoni.

Berbeza dengan keseluruhan tema warna bumi diketengahkan di semua ruang lain, ruang bacaan itu menyelitkan warna merah yang membuatkan ia nampak menyerlah.

Ruang yang dilengkapi langsir putih yang nipis dan jarang dengan corak bunga pada bahagian tingkap serta pintu membangkitkan suasana moden Eropah di situ.

Titik tumpu terletak pula pada dua kerusi lengan dengan fabrik baldu berwarna merah.

Menurut Zafirah, ruang bacaan begitu istimewa kerana mendapat sentuhan peribadi ibunya yang menggemari hiasan dalaman dan perabot diinspirasi dari Eropah.

“Secara keseluruhan susun atur dan pemilihan perabot dalam ruangan bacaan ini adalah idea ibu malah, kerusi ini juga koleksi peribadi beliau.

“Kerusi lengan kayu ini barangan antik kerana ia dihasilkan di Itali dan ibu mendapatkannya di Singapura lebih 20 tahun lalu,” katanya.

Turut tersemat indah di ruang itu adalah lampu candelier bersaiz kecil yang bukan saja berpadanan dengan keseluruhan hiasan malah menambahkan lagi seri suasana.

Ruang tamu turut diberi perhatian yang teliti dan setiap inci dan sudut serta ruang itu diatur dengan baik menjadikan suasana bukan hanya sedap mata memandang tapi lebih praktikal.

Menariknya di ruang itu, satu sudut dinding dipenuhi cermin menggantikan kertas dinding yang turut digunakan dalam ruang sama.

“Saya suka ruang yang nampak lapang dan tidak sesak jadi tujuan meletakkan cermin adalah untuk mencipta ruang yang kelihatan lebih luas,” kata Zafirah.

Pada sudut dinding cermin itu pemilik menyusun letak perabot gaya moden Amerika dengan menampilkan kerusi dari bingkai besi dan fabrik biru.

Sudut tengah pula menjadi tumpuan kerana diletakkan sofa tiga tempat duduk bersama ottomen menjadi ruang untuk menonton televisyen.

Di hujung ruang tamu pula pemilik meletakkan kerusi lengan bersama almari hiasan dan dilengkap dengan bunga orkid bagi menambah kesegaran pada sudut berkenaan.

Sebuah kamar tidur yang ditukar menjadi bilik pakaian juga mencuri tumpuan kerana dipenuhi dengan binaan almari mencecah paraa siling di hampir keseluruhan dinding memberi ruang penyimpanan maksimum bagi pemilik.

Lebih menarik, kamar tidur kedua diubah suai dengan binaan katil dua tingkat bagi menyediakan dua tempat tidur dalam ruang kecil.

Ruang dapur yang diubah suai mengikut keselesaan juga bersambung dengan ruang makan dan turut menjadi tempat untuk mencuci pakaian.

Bijak membahagi dan menyusun atur, ruang dapur turut bersambung dengan ruang makan serta pemilik menggunakan pulau meja makan bagi memanfaatkan ruang dengan sebaik mungkin.

Kediaman dengan tiga bilik itu menggunakan warna putih sebagai warna utama di kamar tidur utama, bilik pakaian, kamar tidur kedua dan dapur.

Pemilihan warna putih dan pastel tidak hanya tertumpu pada dinding malah kebanyakan warna itu dilihat pada perabot serta kelengkapan rumah.

“Saya ingin ruang tampak lapang dan luas jadi saya banyak gunakan warna terang dan pastel tapi paling utama saya pilih putih.

“Warna putih juga warna kegemaran ibu saya jadi saya banyak selitkan warna itu dalam menata rias ruang dalam rumah ini,” kata eksekutif swasta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 5:03 AM