Zatul Iffah Zolkiply & Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Paras air sungai di Terengganu catat bacaan paras bahaya berikutan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Laman web etindakan.terengganu.gov.my melaporkan paras air di Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu, meningkat kepada 8.63 meter melepasi paras bahaya 8.40 meter.

Paras air di Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu kini 20.87 meter melepasi paras bahaya 19.7 meter.

Selain itu, paras air di Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Sungai Besut di Kampung La masing-masing meningkat kepada 34.57 meter melepasi paras amaran (34 meter) dan 20.42 meter melepasi paras berjaga-jaga (19.8 meter).

Di Setiu, Sungai Nerus di Kampung Langkap turut mencatatkan bacaan 20.41 meter melepasi paras berjaga-jaga (20 meter) manakala Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan pula mencatatkan paras air 2.27 meter melepasi paras berjaga-jaga (2 meter).

Malah, paras air sedang meningkat di beberapa sungai lain di Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman.

Sehingga kira-kira 11 pagi, 242 mangsa daripada 62 keluarga dipindahkan di empat pusat pemindahan di Hulu Terengganu iaitu di Balai Raya Kampung Bukit Kolam, Dewan Seri Putih, Kampung Tok Lawit, Surau Bukit Ara dan Surau Hulu Lerek.

Sementara itu, di Hulu Terengganu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama agensi berkaitan kini giat membantu pemindahan mangsa banjir di kawasan Kuala Ping, Telemong.

Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonal (PA) Che Adam A Rahman berkata, pihaknya sedang mengemas kini jumlah mangsa dipindahkan.

Menurutnya, hujan lebat sejak awal pagi tadi menjadi antara faktor paras sungai meningkat secara mendadak.

"Selain kawasan Hulu Terengganu, beberapa kawasan di Marang juga terjejas ketika ini.

"Buat masa ini, pegawai APM di seluruh daerah sedang mengemas kini data mangsa berpindah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 12:54 PM