Cik Pang

Dalam kehangatan orang bercerita mengenai isu Fathia memuat naik rasa tidak puas hatinya terhadap sikap seorang pramugari yang enggan membantunya meletakkan beg dalam kompartmen pesawat di laman sosial, seorang teman menyampaikan satu cerita menarik mengenai sikap baik pelakon jelita itu.

Teman itu geram apabila ada pihak mencemuh Fathia gara-gara insiden itu. Kerana panas hati dengan apa yang diperlakukan netizen kepada Fathia, teman itu tadi terlepas cakap mengatakan sikap baik dan pemurah Fathia tidak pernah orang nampak tapi kalau berlaku perkara buruk, bukan main ‘laju’ lagi mereka menjaja.

Kata teman itu, mereka yang menghina Fathia pernahkah tahu akan kemuliaan hatinya? Tahukah mereka ketika netizen hangat menghinanya, dia mengeluarkan sejumlah wang untuk membantu seorang rakannya menjalani pembedahan membuang payudara palsu.

Katanya, rakan mereka mahu berubah dan kembali kepada fitrah. Untuk itu perkara pertama yang mahu dilakukan ialah membuang implan payudara yang dibuat di selatan Thailand berbelas tahun dulu.

Untuk menjalani pembedahan membuang payudara itu, dia memerlukan belanja besar sedangkan rakan mereka itu pendapatannya tidak menentu.

Berbesar hati dengan perubahan yang mahu dilakukan, Fathia menyerahkan sejumlah wang bagi membolehkan pembedahan itu dijalankan dan rakannya menjalani pembedahan dengan selamat.

Bukan itu saja, katanya, banyak kata-kata nasihat dan semangat diberikan Fathia kepada rakannya hinggakan dia kini kembali kepada penampilan fizikal fitrahnya sebagai lelaki secara total.

Sambil mendengar luahan teman itu tadi, dalam hati Cik Pang mengucapkan syukur atas kemurahan hati Fathia dan berdoa semoga rezeki dan hidupnya akan lebih diberkati Allah. Mulianya hati, kebaikan dilakukan langsung tidak dijaja.

Kalau tidak kerana teman itu geram dengan sikap netizen yang menghina Fathia, pasti cerita kebajikan dilakukannya tersimpan kemas.

Benar seperti diajarkan, kebajikan yang kita lakukan harus disimpan bagaimana kita menyimpan aib diri sendiri. Semoga kebaikan dilakukan Fathia dan dikongsikan ini menjadi contoh kepada yang lain. Amin!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:08 AM
Teruskan ke laman Harian Metro »