Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Jumlah keseluruhan kesalahan dikesan dalam Ops Samseng Jalan Raya sempena sambutan ambang tahun baru yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh awal pagi tadi adalah sebanyak 675 kesalahan dengan 559 saman dikeluarkan.

Operasi dijalankan bermula 1 pagi hingga 5 pagi itu berjaya menahan 409 penunggang dan pembonceng motosikal membabitkan 398 lelaki dan 11 wanita.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, operasi membanteras kegiatan mat rempit itu dijalankan sejurus selepas penugasan sempenan sambutan ambang tahun baru di bandar raya ini.

"Kesemua penunggang dan pembonceng berusia 16 hingga 25 tahun itu ditahan di simpang empat lampu isyarat Jalan Pasir Puteh di Taman Pengkalan Jaya, di sini selepas pasukan polis berjaya mengepung kumpulan mat rempit berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap keseluruhan 326 motosikal yang ditahan, kesalahan paling banyak dikesan adalah tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran motosikal tidak mengikut spesifikasi selain lima daripada mereka yang berlumba haram," katanya dalam sidang media berhubung kejayaan tangkapan terbesar di Perak setakai ini itu di Unit Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh, Jalan Chamberlain Hulu, di sini hari ini.

Menurutnya, motosikal yang dilaporkan hilang pada 2012 turut ditemui ditinggalkan kumpulan mat rempit terbabit.

"Operasi dijalankan susulan aduan orang ramai mengenai kegiatan kumpulan samseng jalan raya itu yang menggangu ketenteraman awam dan polis sebenarnya mengadakan operasi bokeh dikatakan setiap malam minggu untuk mencegah kegiatan tidak berfaedah ini.

"Kesempatan sambutan tahun baru diambil untuk melakukan operasi besar-besaran kerana berdasarkan maklumat dan risikan mendapati bilangan mat rempit terbabit lebih ramai," katanya.

Keterangan gambar:

Pix 1: CHANG KEONG memeriksa motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalan Raya sempena sambutan ambang tahun baru di Ipoh.

Pix 2: KESELURUHAN 326 motosikal ditahan dan diperiksa membabitkan 409 penunggang dan pembonceng motosikal.

Pix 3: SEBAHAGIAN daripada penunggang dan pembonceng motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan.

Gambar Effendy Rashid

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 4:22 PM
ANTARA penunggang motosikal dan pembonceng yang ditahan dalam Ops Samseng Jalan Raya. FOTO Muhammad Apendy Issahak