GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Jelebu: Lelaki cedera di perut selepas terkena tembakan oleh rakannya ketika memburu babi di sebuah kebun getah di Pradong, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri berkata, dalam kejadian 9.30 pagi, mangsa, 50, memasuki kebun itu bersama dua rakan.

Katanya, sebaik memasuki kawasan, mangsa ternampak seekor babi dan melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.

"Tembakan pada awalnya tidak mengenai haiwan berkenaan sebelum ia melintas di hadapan seorang rakan mangsa. Disebabkan itu rakan mangsa melepaskan tembakan kedua menggunakan senjata sama.

"Namun, dua rakan mangsa terkejut mendapati lelaki itu berdarah di perut sebelum membawanya ke Hospital Jelebu, di sini," katanya.

Othman berkata, siasatan polis mempercayai tembakan dilepaskan mungkin terkena pokok atau batu sebelum membidas ke arah mangsa.

"Mangsa dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban bagi mengeluarkan peluru itu. Siasatan membabitkan pelbagai sudut masih dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjatapi 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:34 PM