myMetro

Kota Bharu: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa (gambar) menggesa persatuan itu menandatangani pemain import secepat mungkin.

Annuar berkata, KAFA perlu bertindak segera dengan beliau sendiri akan menguruskan dana untuk pemain import berkenaan.

“Masa sudah suntuk terutama untuk urus pemain import. Tanpa import rasanya kita teruk kena belasah.

“Justeru, saya cadang KAFA teruskan tandatangani pemain import dan saya akan usahakan dana untuk mereka.

Namun begitu katanya, KAFA perlu mencari pemain import yang tidak terlalu mahal sehingga boleh membebankan kantung kewangan persatuan itu.

“Untuk pemain import, jangan terlalu mahal tapi saya perlukan sedikit masa untuk cari dana,” katanya menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Annuar melahirkan kebimbangan berkenaan dengan pemain import kerana ‘Transfer Matching System’ (TMS) ditutup selama seminggu.

Katanya, permohonan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) perlu dibuat melalui sistem itu yang hanya dibuka semula hari ini.

“Permohonan ITC perlu dibuat kepada kelab asal pemain import berkenaan, dan saya bimbang jika mereka bercuti panjang.

“Jika ITC tidak diterima selewat-lewatnya 6 Januari nanti, kami tidak dapat menurunkan import pada perlawanan pertama 21 Januari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 10:59 AM