Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Abd Rahman Ismail (dua kiri) menunjukkan sejumlah pil kuda, air ketum dan pedang yang dirampas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Suami isteri antara 69 individu ditahan dalam tiga operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan di sekitar Kota Bharu dan Bachok bermula tengah malam Sabtu lalu.

Mereka yang juga penjawat awam berusia 34 dan 37 tahun ditahan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa di sini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, turut ditemui bersama pasangan terbabit yang bekerja di sektor kesihatan adalah 397 pil kuda, 24 gram (g) heroin dan 18g syabu bernilai RM29,560.

"Siasatan awal ujian saringan si suami yang berusia 34 tahun mendapati dia positif Methampetamine dan mempunyai satu rekod jenayah lampau berkait dadah manakala isterinya negatif dadah.

"Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Dr Ab Rahman berkata, operasi berakhir jam 8 pagi semalam itu juga menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bersama dengan 80 pil kuda di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, di sini.

Beliau berkata, dalam serbuan di Gunung, Bachok, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana memiliki sebilah pedang dan akan disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

"Ujian saringan mendapati dia positif Amphetamine dan mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan dadah dan curi motosikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 12:25 PM