Seramai 1,046 mangsa banjir kini menghuni 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) lima daerah di Kelantan. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Oleh Muhamaad Razis Ismail


Rantau Panjang: Sesi pembelajaran lebih 4,000 murid dan pelajar di 13 sekolah di Pasir Mas ditangguhkan berikutan banjir di daerah ini.

Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Mas Ahmad Termizi Musa berkata, setakat ini 11 sekolah kebangsaan (SK) dan dua lagi adalah sekolah menengah kebangsaan (SMK).

Katanya, penangguhan sudah dimaklumkan kepada ibu bapa jam 8 pagi berikutan laluan ke sekolah dinaiki air dan dijadikan pusat pemindahan banjir.

" Oleh itu, sesi pengajaran dan pembelajaran di 13 sekolah di daerah ini ditangguhkan hari ini.

" Antara sekolah terbabit adalah SK Kampung Baru, SK Rahmat, SK Gual Tok Deh dan SMK Rantau Panjang

"Bagaimanapun, 200 guru di sekolah yang terjejas masih diminta bertugas seperti biasa atau melaporkan diri di sekolah berhampiran," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan banjir SK Sri Rantau Panjang.

Perkembangan terkini itu menjadikan jumlah sekolah ditutup di beberapa daerah negeri ini setakat 12 tengah hari ialah 25 buah.

Sementara itu, laporan portal eBanjir Kelantan mencatatkan 1,046 mangsa menghuni 24 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah iaitu dua di Jeli, tujuh di Kuala Krai, Machang (dua), Pasir Mas (enam) dan Tanah Merah (tujuh).

Jumlah mangsa teramai masih lagi direkodkan di Kuala Krai dengan 483 orang diikuti Tanah Merah bertambah kepada 367 orang berbanding 226 orang pada jam 9 pagi.

Mangsa banjir di Pasir Mas turut meningkat kepada 159 orang berbanding 129 orang sebelumnya, sementara di Jeli (36) dan Machang (79).

Sementara itu, dua sungai melebihi paras bahaya adalah Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah yang berada pada bacaan 16.73 meter (m) berbanding paras normal 10m.

Manakala, Sungai Golok di Rantau Panjang pada 10.21m jauh melebihi paras bahayanya iaitu 9m.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 2:08 PM