Bantuan terhadap pasukan Kelantan akan dimuktamadkan sebelum 6 Januari. FOTO TRW
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Kerajaan negeri memutuskan pasukan Kelantan perlu kekal bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan dan akan membantu pengurusan pasukan itu mengikut yang termampu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Fattah Mahmood berkata, keputusan dibuat selepas perbincangan dengan jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) di pejabat Menteri Besar, di sini, hari ini.

"Dalam perjumpaan tadi, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob memutuskan supaya The Red Warriors (TRW) perlu terus bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

"Kita juga sudah mendengar masalah dihadapi KAFA dan akan cuba membantu mengikut yang termampu. Kita nak KAFA teruskan musim ini, jangan tarik diri.

"Bentuk bantuannya nanti akan dimuktamadkan dalam beberapa siri perbincangan selepas ini (sebelum 6 Januari)," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor mahu penaja yang ingin menaja pasukan TRW supaya berjumpa terus dengan TRW Sdn Bhd dan tidak hanya menghebahkannya menerusi media.

Katanya, sehingga saat ini belum ada penaja yang berjumpa pihaknya secara formal.

"Mereka menggunakan nama KAFA tanpa kebenaran pihak persatuan semata-mata mahu mencari publisiti, jadi kepada pihak yang ingin menjadi penaja, datang terus jumpa kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 5:56 PM