Hasmah Ali, 60 mendayung sampan untuk membawa anak-anak jirannya pulang dari sekolah di Kampung Nibung, Hulu Terengganu. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Hasmah Ali, 60 mendayung sampan untuk membawa anak-anak jirannya pulang dari sekolah di Kampung Nibung, Hulu Terengganu. FOTO ROZAINAH ZAKARIA
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Hujan lebat di Besut sejak pagi tadi menyebabkan dua pusat pemindahan dibuka semula bagi menempatkan 64 mangsa daripada 15 keluarga.

Semalam, daerah Besut pulih daripada banjir namun, dua pusat pemindahan iaitu Masjid Kampung La dan Dewan Serbaguna Kampung Keruak dibuka semula jam 7.30 malam tadi.

Sehingga jam 12 tengah malam, seramai 344 mangsa daripada 101 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan berbanding hanya 298 mangsa daripada 100 keluarga di enam pusat pemindahan di Terengganu pada jam 7 malam tadi.

Menurut kenyataan banjir, etindakan.terengganu.gov.my, di Hulu Terengganu, terdapat seramai 155 mangsa daripada 55 keluarga di dua pusat pemindahan berbanding 173 mangsa (69 keluarga) di tiga pusat pemindahan

Di Marang, jumlah mangsa kekal dengan 10 keluarga membabitkan 30 mangsa di satu pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih.

Selain itu, jumlah mangsa banjir di Dungun juga kekal dengan 95 mangsa daripada 21 keluarga di SK Durian Mentangau dan Dewan Sivik Paka

Dalam pada itu, dua sungai di Besut dan masing-masing satu sungai di Setiu dan Hulu Terengganu melepasi paras bahaya.

Paras air di Sungai Besut di Jambatan Keruak berada pada paras 36.42 meter (m) melepasi paras normal 28.5m manakala Sungai Besut di Kampung La direkodkan pada paras 22.3 m berbanding 16.5m pada paras normal.

Di Setiu, paras air Sungai Nerus di Kampung Langkap mencatatkan bacaan21.61m berbanding 17m bagi paras normal manakala di Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu mencatatkan bacaan pada paras 19.83m melepasi paras normal 16.5m.

Selain itu, tiga sungai direkodkan berada pada paras berjaga-jaga iaitu Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri pada paras 8.30 m berbanding paras normal 5.50m; Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan pada paras 2.12m berbanding paras normal satu meter dan Sungai Dungun di Kuala Jengai pada paras 19.54m berbanding paras normal 14m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 12:51 AM