AKSI Giroud (tengah) melakukan jaringan ala kala jengking. FOTO EPA
AKSI Giroud (tengah) melakukan jaringan ala kala jengking. FOTO EPA
AFP

London: Arsene Wenger memuji jaringan cantik Olivier Giroud ke atas Crystal Palace sebagai hasil seni dan salah satu daripada lima gol terbaik Arsenal sepanjang 20 tahun beliau di kelab itu.

Sepakan voli yang dilakukan Giroud memberikan Arsenal gol pendahuluan di Stadium Emirates semalam seterusnya membolehkan mereka menang 2-0.

Sepakan ‘ala kala jengking’ penyerang Perancis itu tidak dinafikan sebagai salah satu gol terbaik musim ini tetapi Wenger pergi lebih jauh apabila meletakkannya dalam koleksi jaringan terhebat kelab.

Apabila penyokong Arsenal memperkatakan mengenai gol terhebat yang menjadi sejarah kelab itu, fikiran mereka turut terarah kepada gol hebat pada era Wenger, antaranya rembatan hebat Dennis Bergkamp ke atas Leicester dan Newcastle, jaringan menakjubkan Nwankwo Kanu ke atas Chelsea dan sejumlah gol hebat daripada Thierry Henry.

Wenger percaya bahawa Giroud yang direhatkan beberapa kali di bangku simpanan musim ini, berhak diletakkan dalam kalangan penjaring gol terhebat.

“Dia mengubah gol itu menjadi hasil seni. Ia satu seni kerana kejutan dan keindahan yang ditunjukkan ketika itu,” kata Wenger.

“Setiap pemain diingati disebabkan satu atau dua atau tiga gol istimewa dan perkara itu akan kekal terhadap dirinya selama-lamanya.

“Dia memberikan sesuatu yang tidak disangka dan kami datang menyaksikan bola sepak untuk menyaksikan sesuatu yang tidak disangka. Orang datang untuk menyaksikan gol seumpama itu.

“Saya banyak melihat gol hebat sepanjang karier daripada ramai penyerang terhebat.

“Bergkamp dan Henry menjaringkan gol istimewa tetapi yang ini jelas sekali dalam lima teratas.”

Giroud mengakui jaringannya membawa tuah dan Wenger bersetuju bahawa ia bukan sesuatu yang boleh dilakukan di padang latihan.

“Ia sungguh luar biasa,” kata Wenger.

“Juga disebabkan ia berlaku pada akhir pergerakan menakjubkan.

“Selepas itu ia hanya tindakan refleks tetapi penjaring gol bersedia menjaringkan gol dengan mana-mana bahagian tubuhnya, sama ada dengan ibu jari kaki atau anggota lain.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 8:46 AM