TSG jadi penyumbang terbesar mata untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020.
TSG jadi penyumbang terbesar mata untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020.
Aida Adilah Mat


Sepang: Perbelanjaan RM6.7 juta setahun yang digunakan pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) diharapkan mampu membawa pelumba pasukan itu ke temasya Olimpik Tokyo 2020.

Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata, RM6.7 juta itu adalah perbelanjaan setahun untuk pasukan, termasuk daripada dana yang disuntik oleh kerajaan.

Justeru antara yang berada dalam perancangan pasukan yang berstatus benua itu adalah untuk menempatkan pelumbanya ke Olimpik selain cuba menduduki kelompok empat terbaik dalam siri Jelajah Asia.

Beliau berkata, pelumba daripada TSG sebelum ini adalah penyumbang mata paling banyak ke Olimpik sebelum ini.

“Untuk layak ke Olimpik, TSG perlu berada di kedudukan empat terbaik dalam siri Jelajah Asia. Jika TSG tidak memberi mata untuk Malaysia, bermakna Malaysia tidak akan layak ke Tokyo sama seperti Rio kerana mata yang diperoleh tidak mencukupi.

“TSG adalah penyumbang mata paling banyak dengan 90 peratus daripada datang dari TSG,” katanya.

Sementara itu Nasiruddin berkata, pasukan TSG berlepas ke Melbourne selama 45 hari untuk menjalani latihan pusat fasa satu sebagai persediaan menghadapi Jelajah Filipina, Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Sukan SEA 2017.

Pemilihan pelumba untuk dua siri jelajah itu terletak sepenuhnya di tangan Jeremy Hunt dengan sasaran yang diletakkan tahun ini adalah pada siri perlumbaan terbesar Asia LTdL.

“Sasaran utama adalah untuk pertahankan Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) yang dimenangi Adiq Husainie Othman dan meraih kemenangan peringkat selain mengumpul mata profesional semaksimum yang boleh.

“Saya serahkan 100 peratus kepada jurulatih dan pengurus pasukan (Danny Feng) untuk membuat keputusan kerana laluan kali ini adalah laluan berbukit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 9:03 AM
Digital NSTP Subscribe