KEADAAN banjir di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang. FOTO Fathil Asri
KEADAAN banjir di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang. FOTO Fathil Asri
Maiamalina Mohamed Amin


Kota Bharu: Sehingga 9 pagi, 3,690 mangsa daripada 1,287 keluarga masih menghuni pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah di Kelantan.

Jumlah itu meningkat berbanding malam tadi iaitu sekitar 3,474 orang dan lebih ramai lagi dijangka memasuki PPS susulan hujan sejak tengah malam tadi.

Portal eBanjir Kelantan merekodkan Pasir Mas sebagai daerah tertinggi menempatkan 2,330 mangsa di 15 PPS, diikuti Tanah Merah dengan 441 mangsa di 12 PPS.

Lain-lain daerah adalah Kuala Krai 371 mangsa, Machang (321), Jeli (200) dan Pasir Puteh (27).

Jumlah sekolah yang ditutup pagi ini masih 30 buah di daerah yang terjejas, manakala tiga sungai utama dicatatkan melepasi paras bahaya.

Bacaan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Kursial, Tanah Merah pada 17.40 meter(m), Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah (24.14m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.32m).

Sejak tengah malam tadi, semua bacaan sungai menunjukkan trend menaik, susulan hujan berterusan.

Sementara itu, 13 laluan ditutup masing-masing dua di Kuala Krai, empat di Machang, enam di Pasir Mas dan satu di Tanah Merah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 10:47 AM