Oleh Gaddafi Musli


Temerloh: “Saya dah dekat dengan kampung (Bandar Pusat Jengka). Tapi, terpaksa patah balik ke KL (Kuala Lumpur),” kata lelaki dikenali sebagai Fairus Anuar.

Menurutnya, dia terpaksa keluar di susur keluar Lanchang, mencari jalan ke kampung tetapi akhirnya memutuskan untuk pulang ke KL.

“Kira-kira 12 tengah hari dari KL. Sampai di Tol Karak, kira-kira 3 petang. Tak sampai satu kilometer, LPT (Lebuhraya Pantai Timur) dah sangkut. Dua jam baru sampai susur keluar Lancang.

“Sampai di satu tempat selepas sejam memandu, ada lencongan pula dan dinasihatkan menggunakan jalan ke Kuala Lipis.

“Sampai di satu simpang pula, ada kakitangan LPT tunggu. Mereka tanya hendak ke mana dan kemudian ditunjukkan arah. Tapi, hendak ke kampung (Jengka) tak ada. Semua ditutup.

“Kemudian cari arah sendiri. Tak jumpa juga. Akhirnya, buat keputusan balik semula ke KL. Ramai yang buat begitu,” katanya.

Sementara itu, beratus kenderaan antaranya membawa barang bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur terpaksa balik semula ke KL kerana Kilometer126 LPT, dinaiki air, kira-kira 7 petang semalam.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang memaklumkan perkara itu menerusi laman twitter turut meminta pengguna dari KL membuat pusingan U di Karak manakala pengguna dari Kuantan di Sri Jaya.

Seorang pengguna jalan raya yang terkandas, Ibrahim Nordin, 50, berkata dia dan empat ahli keluarganya terpaksa berpatah balik 8 malam tadi dan kini bermalam di Pekan Bentong, Pahang.

"Saya lihat banyak kenderaan pacuan empat roda membawa kotak makanan dan bantuan terpaksa berpatah balik kerana laluan dinaiki air.

"Saya sempat berbual dengan mereka dan ada yang akan menunggu di tepi jalan jika air surut untuk teruskan perjalanan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, ada kenderaan yang cuba untuk meredah jalan berkenaan namun terpaksa berpatah balik kerana air sudah mencecah kedalaman hampir satu meter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Disember 2014 @ 2:15 AM