Ganja mampat yang ditemui dalam kereta dinaiki seorang lelaki dan wanita di Tampoi.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Polis menahan dua individu termasuk seorang wanita malam tadi, kerana disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Dalam serbuan 9.10 malam di Jalan Persiaran Tanjung, Tampoi, di sini, polis turut merampas 1,011 gram ganja mampat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU), Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya yang bertindak hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBU menahan kereta Proton Wira dinaiki seorang lelaki dan wanita yang disyaki pengedar dadah itu.

"Hasil pemeriksaan polis menemui 1,011 gram ganja mampat dalam kereta itu dan hasil soal siasat mendapati kenderaan terbabit milik seorang suspek.

"Dadah yang dirampas dipercayai untuk edaran sekitar Tampoi yang dianggarkan dapat menampung bekalan kira-kira 2,000 penagih sehari," katanya.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 50 tahun itu mempunyai lima rekod jenayah termasuk dadah dan jenayah lain, manakala ujian saringan air kencing mendapati dia juga positif dadah.

Katanya, suspek wanita yang juga isteri sepupu suspek lelaki berusia 32 tahun dan tiada rekod jenayah,

“Kedua-dua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 4:54 PM