Dadah yang dirampas polis ketika menahan suspek. FOTO Ihsan Polis
Safuri Kamarudin


Baling: Seorang penjaga lembu yang terbabit dalam pengedaran dadah di sekitar Kuala Ketil ditahan polis di Kampung Thye Seng, Kuala Ketil, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, suspek berusia 28 tahun ditahan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling selepas melihat lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atasnya menemui satu kotak rokok mengandungi sembilan peket plastik berisi bahan disyaki dadah heroin seberat sembilan gram, 11 peket plastik berisi dadah syabu seberat 5.1 gram.

"Kita turut menemui satu plastik hitam di dalam raga motosikal dan menjumpai 14 peket kecil plastik yang mengandungi heroin seberat 49 gram bersama 53 peket dadah syabu seberat 27 gram.

"Suspek dipercayai menjalankan kegiatannya itu di sekitar Kuala Ketil dan tempat kerjanya," katanya dalam satu kenyataan media tadi.

Shariffuddin berkata, hasil ujian air kencing suspek positif syabu dan dia direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 5:38 PM