KEADAAN banjir di sekitar pekan Rantau Panjang yang cerah tetapi masih ditenggelami air di kawasan rendah akibat limpahan air dari Sungai Golok. FOTO Fathil Asri
KEADAAN banjir di sekitar pekan Rantau Panjang yang cerah tetapi masih ditenggelami air di kawasan rendah akibat limpahan air dari Sungai Golok. FOTO Fathil Asri
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Sehingga 9 pagi ini, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan terus meningkat kepada 8,890 orang berbanding 7,533 orang, 12 tengah malam tadi.

Portal eBanjir Kelantan merekodkan semua mangsa banjir di sembilan daerah ini ditempatkan di 81 PPS.

Daerah Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 4,545 mangsa membabitkan 281 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS diikuti Kuala Krai seramai 1,491 ditempatkan di 11 PPS.

Lain-lain daerah adalah Machang mencatatkan seramai 1,100 mangsa, Kota Bharu (724), Tanah Merah (638), Pasir Puteh( 217), Bachok (107), Tumpat (45) dan Jeli (23).

Bacaan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Kusial, Tanah Merah merekodkan sedikit penurunan namun masih melepasi paras bahaya iaitu 17.56 meter (m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.39m).

Dalam pada itu, 32 laluan ditutup masing-masing empat di Kuala Krai, Machang (5) Pasir Mas (22), Pasir Puteh (3), Tumpat (1) dan Tanah Merah (1).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 9:45 AM