ALBUM terbaru dengan 5 lagu dipasarkan mulai pertengahan tahun ini.
ALBUM terbaru dengan 5 lagu dipasarkan mulai pertengahan tahun ini.
Ridzuan Abdul Rahman


Barangkali tidak ramai yang menyedari pelakon drama Romi Cinta Julia, Aisya Hasnaa, 26, berbakat besar dalam bidang nyanyian. Kemampuannya menyanyi sudah diperlihatkan menerusi teater Mencari Sumaiyah yang dipentaskan di Istana Budaya tahun lalu.

Aisya kini tampil dengan single terbaru berjudul Usah ditanya ciptaan Dj Fuzz dan lirik Amzah Viral.

“Lagu itu berkonsepkan pop R&B dan ia adalah single pertama saya selepas beberapa tahun berehat daripada nyanyian. Ia ibarat ‘comeback’ dalam arena seni suara kerana saya pernah menghasilkan album solo pada 2011. Mungkin kehadirannya kurang disedari peminat.

“Album terbaru dihasilkan di bawah label Octave Records milik Dj Fuzz dan akan dipasarkan mulai pertengahan tahun ini,” katanya.

Menurut Aisya, hanya tinggal satu lagu untuk dirakam bagi melengkapkan lima lagu untuk album solo ini.

“Kebanyakan lagu ciptaan DJ Fuzz sendiri dan kerjasama kami bermula sejak pertengahan tahun lalu. Kami memang sudah lama kenal dan saya menemuinya untuk beritahu hasrat menyanyi semula dan konsep lagu yang saya inginkan.

“Kami akhirnya mencapai persetujuan bersama dan dia mencipta lagu yang kena dengan suara serta cita rasa saya,” terangnya.

Beralih kepada lakonan pula, Aisya mengakui belum ada sebarang projek baru. Dalam pada menunggu tawaran berlakon dia mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan apabila dilamar mengacara rancangan Sergah untuk TV1.

“Tema rancangan 13 episod itu agak serius iaitu menyentuh gejala sosial. Saya kena bertemu masyarakat dan bertanyakan soalan berkenaan sesuatu isu secara spontan. Sebelum ini saya pernah juga jadi pengacara tetapi untuk program yang pendek saja,” katanya yang ditemui pada program Doa Untukmu Rohingya di Laman Santai Istana Budaya, Ahad lalu.

Aisya mula berlakon sejak 2011 dan sudah membintangi banyak drama. Namun peminat lebih mengingati lakonannya dalam Romi Cinta Julia.

“Mungkin belum ada lakonan saya yang benar-benar menonjol walaupun kebanyakan karakter sama ada dalam drama atau filem adalah berbeza. Saya tak kejar populariti kerana buat apa yang saya suka. Saya sentiasa mahu buat yang terbaik dan akan baca setiap skrip sebelum terima sesuatu tawaran.

“Mungkin belum tiba masa untuk saya dikenali masyarakat. Ramai rakan artis seangkatan sudah berjaya dan itu adalah rezeki masing-masing,” katanya.

Aisya yang mula bertudung selepas kematian abangnya, Adam Emir Umaruddin, 37, pada 6 April lalu mengharapkan 2017 membawa kejayaan dalam kerjayanya.

“Saya mengharapkan rezeki dalam seni akan bertambah dan merancang sambung belajar. Semoga segalanya berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 10:27 AM